N.Sembilan bakal jadi pengeluar produk tenusu terbesar

NILAI, 28 Julai (Bernama) — Negeri Sembilan bakal menjadi pengeluar produk tenusu berskala besar di negara ini melalui pengoperasian pusat penternakan lembu susu oleh syarikat Fraser & Neave Holdings Bhd (F&N) di Gemas dekat sini membabitkan nilai pelaburan sehingga RM2 bilion.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelaburan, Perindustrian, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan negeri Datuk Dr Mohamad Rafie Ab Malek berkata projek di tanah berkeluasan lebih 2,000 hektar itu dijangka beroperasi tahun ini dengan sasaran pengeluaran susu segar pertama pada Dis 2024.
Beliau berkata pembukaan pusat penternakan F&N itu juga bakal mewujudkan 1,000 peluang pekerjaan dan perniagaan kepada penduduk di Negeri Sembilan
khususnya di Gemas termasuk sebagai usahawan bijirin jagung untuk ternakan tersebut.
“Ini adalah projek penternakan susu bersepadu terbesar di negara ini…ia akan dimulakan dengan 4,000 ekor lembu ternakan susu dari luar negara akan dibawamasuk dengan baka tersendiri dan dijangka bertambah sehingga 20,000 ekor.
“Nilai pelaburan peringkat awal adalah RM700 juta tetapi ia dijangka meningkat secara berperingkat sehingga RM2 bilion,” katanya kepada pemberita selepasmenghadiri majlis perasmian NS Fest 2022 dan pelancaran Jalur Gemilang 2022 Peringkat Negeri Sembilan di sini hari ini.
Mohamad Rafie berkata kerajaan negeri akan bertindak sebagai penyelaras dan pemudahcara bagi membantu syarikat F&N melabur di negeri ini.
Beliau turut berharap projek pengeluaran tenusu segar itu dapat dikembangkan ke daerah lain pada masa hadapan sekali gus menjadi pencetus bukan sahaja diNegeri Sembilan tetapi untuk seluruh negara. Jelasnya, projek berskala besar itu juga mampu merealisasikan hasrat kerajaan negeri menjadikan empat daerah iaitu Rembau, Kuala Pilah, Tampin dan Jempolsebagai pembangunan agropolis yang menerapkan elemen pertanian.
— BERNAMA